Wednesday, December 4, 2013

ESEI KUMPULAN

1.0       PENGENALAN
            Pelajar mempunyai perbezaan di antara satu sama lain walaupun mereka berada dalam tahap pembelajaran yang sama. Perbezaan individu ini merangkumi dari aspek pemikiran, tindak balas, minat,  kecenderungan, pencapaian dan pemahaman. Justeru pelajar-pelajar ini mempunyai gaya yang tersendiri  untuk menerima dan bertindak balas dengan persekitaran. Pelajar juga berbeza dari sudut menggunakan  rangsangan dalaman, proses pembelajaran dan pendekatan yang diambil oleh setiap pelajar adalah  berdasarkan tanggapan subjektif mereka terhadap kehendak pengajar atau konteks pembelajarannya.
            Gaya pembelajaran yang sesuai dengan diri pelajar sangat penting kerana ia mempunyai hubungan yang  kuat terhadap keputusan pencapaian akademik pelajar. Di mana, gaya pembelajaran memberi ruang  kepada pelajar untuk memperkembangkan potensi mereka dalam mencapai keputusan akademik yang  cemerlang.
            Gaya pembelajaran murid yang aktif contohnya pelajar sekolah projek sukan adalah berbeza dengan pelajar sekolah harian biasa. Walaupun prestasi akademik mereka sama, kaedah pembelajaran adalah berbeza antara pelajar sukan dan bukan pelajar sukan. Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti, sikap, motivasi, kekangan masa dan sistem pengurusan diri pelajar.
            Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk mengenalpasti kaedah pembelajaran pelajar sekolah projek sukan dengan sekolah harian biasa. Kajian ini dilakukan supaya guru dapat mencari alternatif  untuk memperbaiki tahap pengajaran sedia ada kepada yang lebih efisien dan juga kepada pelajar sendiri untuk melakukan penambahbaikan dalam prestasi akademik masing-masing. Hal ini kerana ramai yang membuat tanggapan bahawa pelajar sukan sering tercicir dalam akademik akibat tidak boleh memberi komitmen yang baik dalam pembelajaran.
           




2.0       OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian ini adalah untuk :
       I.            Mengenalpasti gaya pembelajaran yang diamalkan oleh pelajar sekolah projek sukan dan pelajar sekolah harian biasa.
    II.            Membuat perbandingan gaya pembelajaran antara pelajar sekolah projek sukan dengan pelajar sekolah harian biasa.
 III.            Memberikan pendedahan kepada pelajar tentang pengurusan belajar yang berkesan.

3.0       KEPENTINGAN KAJIAN
            Kajian ini adalah sangat bermanfaat untuk dijadikan sebagai rujukan kepada pentadbiran pendidikan, pendidik, pelajar dan ibu bapa.
       I.            Pentadbiran Pendidikan
            Pentadbiran pendidikan misalnya KPM, JPN, dan PPD dapat merangka program latihan pembelajaran yang efisien kepada sekolah sebagai cadangan penambahbaikan mengikut spesifiasi gaya pembelajaran murid. Ianya juga dapat dijadikan rujukan prestasi dan perkembangan pelajar dari semasa ke semasa.

    II.            Pendidik
            Kajian ini juga dapat membantu golongan pendidik menepati kehendak dan  perubahan arus  globalisai dalam bidang pendidikan pada masa hadapan. Amalan gaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkesan pastinya akan mendatangkan hasil yang baik. Hal ini pastinya akan menjurus kepada peningkatan pencapaian akademik para pelajar. Selain itu,gaya pengajaran guru yang kreatif dan bersesuaian dengan gaya pembelajaran pelajar sudah tentu mendatangkan keseronokan dan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
 III.            Pelajar
            Kajian ini juga diharapkan dapat membantu para pelajar menyelasaikan masalah pembelajaran yang mereka hadapi dalam pembelajaran dan gaya belajar mereka. Hal ini amat penting supaya pelajar boleh memberi tumpuan yang lebih baik semasa berada dalam bilik darjah serta memperbaiki gaya pembelajaran mereka kepada yang lebih sistematik.

 IV.            Ibu bapa
            Selain itu, kajian ini dapat juga dijadikan rujukan dan sebagai panduan kepada pihak ibu bapa dan penjaga pelajar untuk memberi motivasi kepada pelajar bagi memperoleh keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik dan meningkatkan kualiti pembelajaran.

4.0       METODOLOGI KAJIAN
       I.            Kaedah kajian
            Kajian ini dijalankan secara kuantitatif. Bermakna kami hanya menjalankan soal selidik dan tiada temubual. Kami telah menjalankan kajian menggunakan borang soal selidik yang mempunyai tiga bahagian iaitu bahagian A ( latar belakang responden ), bahagian B ( sukan dan akademik ) dan bahagian C ( gaya pembelajaran ).

    II.            Lokasi kajian
Kajian telah dilakukan di dua buah sekolah iaitu :
·         Sekolah projek sukan
·         Sekolah harian biasa

 III.            Responden
            Responden terdiri daripada pelajar menengah atas di kedua-dua buah sekolah. Umur pelajar dalam lingkungan 15-17 tahun. Responden merupakan pelajar sekolah berikut. Seramai 30 orang responden telah dipilih untuk menjawab soal selidik. Pelajar terdiri daripada kumpulan pelajar yang mempunyai prestasi yang baik dan aktif bersukan.




5.0       DAPATAN KAJIAN
Kajian 1
            Setiap responden mempunyai minat dan bakat sukan yang berbeza. Antara sukan yang diminati oleh mereka adalah seperti :
·         Badminton
·         Catur
·         Bola baling
·         Ping pong
·         Bola sepak
·         Bola tampar
·         Futsal
·         Softball
·         Tenis
·         Marathon / merentas desa
·         Olahraga
·         Hoki
·         Bola keranjang
·         Petanque

·         Bola jaring



JADUAL 1
            Jadual 1 menunjukkan kepelbagaian bidang sukan di antara pelajar sukan dan pelajar sekolah harian biasa. Badminton merupakan salah satu sukan yang popular di kedua-dua sekolah. Hal ini mungkin kerana sukan adalah merupakan salah satu sukan riadah yang boleh dimainkan oleh semua lapisan masyarakat tidak kira usia. Sedangkan Malaysia juga telah melahirkan jaguh dunia dalam sukan badminton. Mungkin itu menjadi salah satu motivasi kepada mereka. Jadi, boleh disimpulkan bahawa semua pelajar melibatkan diri dalam sukan yang dianjurkan di sekolah.

Kajian 2


JADUAL 2
            Berdasarkan analisis data, peruntukan masa belajar para pelajar adalah berbeza mengikut individu. Sesetengah pelajar memerlukan banyak masa dalam sehari manakala ada segelintir pelajar yang tidak memerlukannya. Berdasarkan kajian, dapat disimpulkan bahawa pelajar sekolah harian biasa memperuntukkan masa yang lama untuk mengulangkaji pelajaran berbanding dengan pelajar sukan. Hal ini mungkin kerana kekangan masa akibat komitmen pelajar sukan terhadap perlawanan atau pun musim pra pertandingan. Bagi pelajar sekolah harian biasa mereka tidak terikat dengan latihan pusat membolehkan mereka masa luang tambahan berbandng pelajar sukan yang terhad. Kekangan masa sebenarnya tidak mengganggu prestasi belajar pelajar. Ianya bergantung kepada pengurusan pelajar itu sendiri. Tidak kira pelajar tersebut mempunyai banyak komitmen atau tidak, yang penting adalah cara pelajar membahagikan masa belajar dengan komitmen lain.

Kajian 3



JADUAL 3
            Sememangnya setiap pelajar mempunyai kaedah pembelajaran yang berbeza-beza. Dalam kajian ini, kami tekankan kepada dua kaedah pembelajaran iaitu pembelajaran secara koperatif atau berkumpulan dan pembelajaran secara individu. Ternyata majoriti pelajar di kedua-dua buah sekolah mengamalkan kaedah pembelajaran secara berkumpulan. Kaedah pembelajaran secara berkumpulan memang sangat berkesan untuk digunakan. Hal ini kerana, bagi pelajar sukan, mereka banyak keluar meninggalkan kelas untuk tempoh yang lama jika terlibat dengan sebarang perlawanan penting. Oleh itu, mereka perlu belajar sendiri bab-bab atau tajuk-tajuk pembelajaran yang ketinggalan. Jadi, pembelajaran berkumpulan merupakan jalan penyelesaian kepada masalah tersebut selain daripada merujuk guru mata pelajaran.


Kajian 4



            Dalam era pendidikan, rujukan merupakan satu wadah penting untuk pelajar memperoleh maklumat. Di sekolah, rujukan utama pelajar adalah guru dan kawan sedarjah atau tingkatan. Dalam kajian ini, pelajar lebih memilih kawan sebagai rujukan utama sekiranya mempunyai masalah terhadap sesuatu pelajaran. Ibu bapa jarang menjadi rujukan utama kerana di sekolah mereka lebih terdedah kepada sahabat handai. Walau bagaimanapun, ibu bapa tetap perlu memerhatikan akademik anak-anak masing-masing. Mereka tidak boleh hanya melepaskan batuk di tangga dan meletakkan semua tanggungjawab tersebut kepada guru secara langsung.

Kemahiran Belajar
Kemahiran belajar terdiri daripada 6 bahagian iaitu :
·         Kemahiran mengurus masa
·         Kemahiran membaca
·         Kemahiran menulis nota
·         Kemahiran membuat rujukan
·         Kemahiran mendengar
·         Kemahiran menjawab peperiksaan

       I.            Kemahiran Membaca
            Membaca adalah proses berfikir yang melibatkan pemikiran perkara tersurat, tersirat, menghubungkaitkan idea, menyoal dan bertindak balas dengan memberi idea dan mengaplikasikan maklumat baru ke dalam situasi baru. Di peringkat pengajian tinggi, bahan bacaan merangkumi buku, jurnal, makalah, nota kuliah, potongan surat khabar, tesis dan bahan-bahan rencana yang berkaitan. Keberkesanan dalam pembacaan adalah amat penting dan perlu ditekankan oleh para pelajar ketika membaca. Proses membaca yang berkesan memerlukan kemahiran yang tertentu sama ada sebelum, semasa ataupun selepas proses membaca.

            Untuk memperolehi keputusan yang cemerlang, seseorang pelajar perlu mempunyai kemahiran membaca yang betul. Biasanya pelajar akan melupai dan tidak memahami apa yang telah dibaca walaupun telah membaca dengan berulang kali. Keadaan ini sebenarnya menunjukkan bahawa cara membaca yang mereka gunakan tidak dapat menghasilkan kefahaman pembacaan yang maksimum. Untuk mengelakkan pembaziran masa, pelajar perlu mengetahui dan melatih diri membaca dengan betul berdasarkan kaedah-kaedah pembacaan ada. Kaedah pembacaan yang tidak betul akan menyebabkan pelajar berasa cepat bosan, kurang berminat dan cepat berasa mengantuk

    II.            Kemahiran menulis nota
            Menulis nota merupakan aktiviti yang sangat penting kepada pelajar terutamanya mereka yang melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi. Kemahiran mencatat nota yang efektif penting dalam proses pembelajaran di universiti kerana kuliah yang disampaikan oleh pensyarah merupakan sumber maklumat paling utama bagi para pelajar.
            Faktor kegagalan pelajar mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan mungkin berpunca daripada pelajar tidak mempunyai nota yang tersusun ataupun langsung tidak mempunyai nota. Pelajar yang mencatat nota dan belajar selepas waktu kuliah dapat mengingat 90-100% daripada yang didengar. Sebaliknya untuk pelajar yang tidak mencatat nota atau belajar nota daripada rakan sekelas akan melupai 80% daripada apa yang didengar dalam kuliah selepas masa dua minggu .
            Di samping itu, pelajar juga perlu menghadiri kuliah tepat pada waktunya supaya pelajar tidak ketinggalan dalam mencatatkan nota yang betul dan penting. Selain menghadiri kuliah tepat pada waktunya, pelajar juga perlu memilih tempat duduk atau lokasi yang sesuai iaitu berdekatan dengan pensyarah. Lokasi yang sesuai akan meningkatkan konsentrasi pelajar terhadap pembelajaran yang disampaikan.

 III.            Pengurusan masa
            Untuk pengurusan masa yang paling berkesan, pelajar perlu membuat jadual waktu persendirian. Segala aktiviti yang akan dijalankan dalam masa 24 jam perlulah dicatatkan dalam jadual waktu. Seseorang yang mengamalkan tabiat ini dapat menggunakan masanya dengan optimum. Seseorang yang pandai menguruskan masanya akan mempunyai masa yang mencukupi untuk belajar, beriadah, bergiat dalam kegiatan ko-kurikulum, menonton televisyen dan sebagainya.

            Untuk memastikan pelajar dapat menggariskan masa secara cekap dan berkesan, pelajar boleh mengkelaskan masa dan kerja berdasarkan kaedah berikut :
·         Masa ketika pelajar paling segar, bertenaga dan dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya kepada proses pembelajaran.
·         Masa sewaktu pelajar paling keletihan atau terdedah kepada faktor-faktor gangguan dimana pelajar sukar untuk mendapatkan konsentrasi.
·         Masa diantara dua waktu yang dinyatakan di atas.

 IV.            Kemahiran mendengar
            Aktiviti mendengar sering dianggap sebagai satu aktiviti yang mudah, tetapi pelajar masih menghadapi kesukaran untuk mendengar secara berkesan. Pelajar yang duduk di kawasan satu per tiga daripada bahagian hadapan kelas atau berhampiran dengan guru dapat meningkatkan daya penglihatan dan pendengaran pelajar. Pelajar yang memilih tempat duduk di bahagian belakang bilik darjah merupakan satu amalan yang merugikan diri sendiri.
            Selain itu, pelajar juga boleh bersikap optimis dan percaya bahawa topik yang dibincangkan berfaedah, ini akan memberi dorongan pelajar untuk terus mendengar. Selain itu, pelajar perlu sentiasa menggunakan daya imaginasi sendiri dan membuat hubungkait di antara maklumat yang diperolehi untuk mengemukakan soalan. Dengan cara ini, fikiran pelajar akan lebih tertumpu kepada topik yang dibincangkan oleh pensyarah semasa di dalam kelas.

    V.            Kemahiran membuat rujukan
            Pelajar perlu membiasakan diri berada di dalam pepustakaan untuk mencari maklumat yang diperlukan. Kebanyakan pelajar berasa malu dan masih kurang mahir untuk menggunakan perpustakaan. Kemahiran membuat rujukan di perpustakaan adalah kemahiran pembelajaran yang sangat penting dan perlu dikuasai oleh semua pelajar. Ini adalah disebabkan pelajar tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada nota yang diberikan oleh guru sahaja.
            Dengan mempunyai kemahiran membuat rujukan, pelajar akan lebih menguasai dan mempunyai kefahaman yang lebih mendalam tentang sesuatu mata pelajaran yang dibincangkan. Pelajar perlulah rajin bertanya kepada pustakawan sekiranya menghadapi sebarang masalah semasa menggunakan perpustakaan dan memberi tunjuk ajar kepada pelajar supaya dapat mencari maklumat dan bahan yang dikehendaki.
 VI.            Kemahiran menjawab peperiksaan
            Kebanyakan pelajar yang gagal dalam peperiksaan adalah kerana tidak mempunyai perancangan yang rapi semasa awal semester lagi. Kebanyakan pelajar gemar mengulangkaji pelajaran pada saat-saat akhir. Keadaan ini akan menimbulkan ketegangan yang akan mengurangkan kecekapan pelajar untuk menjawab soalan peperiksaan. Satu kesilapan besar yang sering dilakukan oleh kebanyakan pelajar adalah mereka tidak melihat balik atau mengulangkaji nota yang dicatat selepas pembelajaran.
            Pelajar hanya akan mengulangkaji semula menjelang saat akhir peperiksaan. Membuat latihan dan mengulangkaji akan menguatkan lagi kefahaman dan ingatan terhadap mata pelajaran yang dipelajari. Oleh itu, membuat latihan dan perbincangan adalah dua faktor yang paling penting untuk mencapai tahap pengekalan ilmu pengetahuan yang dipelajari.
            Pelajar yang tidak menjaga kesihatan dan mempunyai tidur yang cukup akan menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian yang sepenuhnya. Malahan daya ingatan juga akan menjadi lemah dan boleh mengganggu persediaan pelajar sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Menyediakan segala peralatan yang diperlukan juga merupakan salah satu persediaan yang penting sebelum masuk ke dewan peperiksaan.
            Pelajar perlu memastikan semua peralatan seperti pen dan kalkulator berada dalam keadaan yang baik. Selain itu, pelajar tiba lebih awal di dewan peperiksaan untuk mendapatkan tempat duduk yang baik dari segi pencahayaan dan kurang gangguan luar.

6.0       KESIMPULAN

            Pelajar mempunyai tahap motivasi yang berbeza, berbeza sikap terhadap pengajaran dan pembelajaran, memberi respon yang berbeza kepada persekitaran bilik darjah dan amalan pengajaran. Pelajar belajar dalam berbagai cara – dengan melihat dan mendengar, merefleksi dan melakukan, berfikir secara logik dan intuitif, dan menghafal, mengingat dan menggambarkan.
            Pembelajaran tidak hanya berkaitan dengan penambahan pengetahuan dan mengingat semula maklumat yang dipelajari tetapi merupakan aktiviti menguasai konsep dan memahami maklumat pengetahuan dan seterusnya dapat mengaplikasinya ke dalam kehidupan. Pembelajaran melibatkan usaha menguasai kemahiran dan pengetahuan di samping membentuk sikap. Kajian dalam bidang psikologi dan pendidikan menunjukkan individu mempunyai kemahiran yang berbeza memproses maklumat. Kaedah tersendiri individu mencari, menyimpan dan mengeluarkan semula maklumat dikenali sebagai gaya pembelajaran.
            Oleh itu untuk berjaya, individu pelajar perlu memiliki sifat belajar dan menguasai kaedah belajar untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran. Walaubagaimanapun, kemungkinan wujudnya pelajar yang berhadapan dengan konflik belajar apabila tidak memiliki gaya pembelajaran yang sesuai. Masalah berlaku apabila gaya pembelajaran pelajar tidak dapat disesuaikan dengan aktiviti dan gaya pengajaran pensyarah. Akibatnya pelajar menjadi bosan dan tidak menumpukan perhatian menyebabkan mereka gagal mendapat markah tinggi dalam peperiksaan, kurang berminat pada subjek tertentu dan seterusnya berputus asa.
            Salah satu cara penentuan kecekapan atau prestasi seseorang individu mempelajari dan menguasai ilmu adalah dengan menyedari gaya pembelajarannya. Penggunaan kaedah atau gaya pembelajaran dapat membantu seseorang mengetahui dan memahami pengetahuan dan kemahiran dalam proses pembelajaran. Gaya pembelajaran yang dimiliki juga dapat membantu seseorang untuk mengenalpasti situasi pembelajaran dan mempertingkatkan prestasi pembelajaran. Pelajar yang tahu menggunakan gaya pembelajaran yang sesuai dengan dirinya akan lebih mudah membantu mereka mencapai keputusan yang lebih cemerlang.
            Setelah pelajar diperkenalkan dengan gaya pembelajaran dan menggunakannya telah mendapat keputusan lebih cemerlang. Di samping penyesuaian gaya pembelajaran dengan sifat individu, penguasaan kemahiran belajar juga penting untuk mencapai keputusan cemerlang. Kemahiran belajar adalah kemahiran yang membolehkan seseorang pelajar mencari, menilai, memilih, menyusun, menyimpan dan menyampaikan ilmu pengetahuan.
            Kemahiran belajar merupakan keupayaan atau kecekapan yang dikuasai oleh seseorang pelajar untuk mengumpul, memproses dan menyimpan maklumat serta menuju ke arah pembelajaran seumur hidup. Sehubungan dengan ini, proses pengajaran dan pembelajaran di universiti adalah untuk melengkapkan diri individu dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan dan seterusnya dapat membantu individu untuk menghadapi dunia pekerjaan dan berjaya dalam kehidupan.
            Dalam usaha untuk mendapat kejayaan akademik, kajian lalu telah menegaskan bahawa seseorang pelajar perlu menitikberatkan gaya pembelajaran dan kemahiran belajar yang diamalkan supaya dapat mengurangkan masalah belajar pelajar. Oleh itu, kajian mengenai gaya pembelajaran, kemahiran belajar dan masalah belajar pelajar di sekolah perlu dibuat supaya proses dan prestasi belajar pelajar dapat dipertingkatkan. Di samping itu, kesedaran mengenai pentingnya interaksi antara tiga elemen ini di kalangan pelajar juga boleh membantu pihak sekolah menyediakan persekitaran dan kaedah mengajar yang lebih sesuai dengan kecenderungan belajar pelajar.


7.0       RUJUKAN
Khalid Mohamad Noor (2002). “Belajar Teknik Belajar: Di Sekolah dan Di Universiti”.
            Bentong, Pahang: PTS Publication

Suhaida Abdul Kadir, and Zaidatul Akmaliah Lope Pihie, and Noran Fauziah     Yaakub, and Habibah                  Elias, and Rohani Ahmad Tarmizi, (2006) Kesan Strategi   Pembelajaran Koperatif terhadap Prestasi            Pelajar dalam Pendidikan     Perakaunan. Jurnal Pendidikan, 26 (Malay Language Version)


           Gu7O5U0&sig=h89M7_smFRkblnntqZVyMIQfKH8






No comments:

Post a Comment